BUTTERWORTH – PPBM Bahagian Tasek Gelugor hari ini membuat laporan polis berhubung proses pengiraan undi di kawasan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang didakwa dilaksanakan dalam keadaan mencurigakan.
Ejen kepada calon Marzuki Yahaya (PKR-PPBM), Mohd Yusup Hashim mendakwa SPR menidakkan hak calon PPBM itu untuk membuat pengiraan semula ekoran terdapat perbezaan sebanyak 81 undi antara calon Barisan Nasional Datuk Shahbudin Yahaya dan Marzuki.
“Kami merasakan keputusan yang dipamer pada skrin (penjumlahan undi) meragukan terutama apabila permohonan kami untuk membuat pengiraan semula undi ditolak mentah-mentah oleh SPR,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Sungai Dua, di sini.
Pada PRU14 Rabu lepas, Shabudin mempertahankan kerusi Parlimen Tasek Gelugor dengan memperoleh 18,547 undi manakala Marzuki mendapat 18,466 undi. – BERNAMA