JAKARTA – Pihak pendakwa Indonesia semalam meminta hukuman mati dikenakan ke atas pendakwah radikal berhubung pembabitannya dalam satu serangan keganasan pada 2016.
Serangan berkenaan dilakukan oleh sebuah kumpulan sama yang dipercayai terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Indonesia sepanjang minggu ini.
Berpuluh-puluh anggota polis daripada unit khas dikerah untuk mengawasi perbicaraan Aman Abdurrahman, 46, yang didakwa dalang kepada satu serangan bersenjata dan pengebom bunuh diri di Jakarta dua tahun lalu.
Serangan itu menyebabkan masing-masing empat penyerang dan orang awam terkorban. Militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pertama kumpulan itu di Asia Tenggara.
Aman dianggap sebagai ketua de facto untuk semua penyokong Daesh di Indonesia serta pemimpin keagamaan untuk rangkaian kumpulan ekstremis tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD).
Pihak berkuasa menyatakan JAD adalah dalang di sebalik serangan tahun 2016 dan pengebom-pengebom bunuh diri di bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya pada minggu ini.
Dua keluarga, termasuk kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun, meletupkan diri sendiri di gereja dan sebuah balai polis lalu meragut 13 nyawa.
Pihak berkuasa belum mendakwa Aman berhubung siri serangan pada minggu ini.
“Kami menuntut agar panel juri ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Aman Abdurrahman,” kata ketua pendakwa, Anita Dewayani kepada mahkamah daerah Jakarta Selatan.
Aman kini dipenjara atas kesalahan melakukan aktiviti keganasan lain. – AFP/KOSMO