JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan DAP dalam keadaan terdesak jika benar dakwaan yang parti itu menyebarkan risalah dan video propaganda jahat untuk meraih undi.
Pada masa sama beliau mencabar DAP menafikan dakwaan yang dibuat oleh anggota seumur hidup parti Amran Ahmad itu.
“Saya ingat kalau perkara itu tidak betul tentunya DAP terbuka untuk menyaman individu tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata dakwaan individu tersebut juga membayangkan pembangkang tidak mempunyai jalan lain untuk mempengaruhi rakyat dan menggunakan fitnah untuk memburukkan kerajaan BN.
“… saya juga berharap rakyat yang hadir ke ceramah Pakatan Harapan supaya lebih berhati-hati dengan apa yang mereka (pembangkang) sampaikan agar tidak mudah percaya dengan tomahan mereka,” katanya.
Semalam, media tempatan melaporkan Amran yang juga anggota pasukan publisiti DAP Pusat mendedahkan parti itu mempunyai niat jahat untuk menyebarkan propaganda yang bersifat fitnah semata-mata bagi meraih undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) 9 Mei ini.
Sementara itu pada majlis berkenaan sebanyak 1,000 kunci rumah mampu milik di Bandar Dato Onn diserahkan kepada pemilik.
Projek di bawah Johor Land itu menawarkan 1,000 unit MyHome bernilai RM99,000 seunit namun pembeli hanya perlu membayar RM69,000 susulan pemberian insentif kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempat sebanyak RM30,000. – BERNAMA