KUALA LUMPUR – Semua dapur gas domestik yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan dilekatkan dengan label SIRIM sebelum dipasarkan di negara ini.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ST berkata peraturan itu akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 April 2019 dan ia selaras dengan Peraturan 116(1), 117 (1) dan 119 (1) Peraturan-peraturan Bekalan Gas (Pindaan) 2017.
Mereka yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan menurut Akta Bekalan Gas (Pindaan) 2016 serta Peraturan-peraturan Bekalan Gas (Pindaan) 2017 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan denda RM2,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Menurut suruhanjaya itu, penguatkuasaan peraturan tersebut bagi memastikan dapur gas yang dipasarkan di negara adalah selamat digunakan.
Pada masa ini, dapur gas domestik di pasaran negara ini tidak mempunyai sebarang label atau tanda kelulusan daripada ST dan SIRIM seperti kelengkapan elektrik lain, sekali gus menyukarkan orang awam mengetahui tahap keselamatannya, kata suruhanjaya itu.
Penguatkuasaan peraturan juga bertujuan memastikan syarikat terbabit berdaftar dengan ST sebagai pemasang, pengilang atau pengimport dapur gas. – BERNAMA