KUALA LUMPUR – Seorang anggota akar umbi Amanah hari ini mendedahkan satu rakaman audio dan paparan aplikasi WhatsApp mengandungi perbualan intim yang didakwanya melibatkan pemimpin tertinggi parti politik.
Anggota cawangan Amanah Kuala Kedah, Rizal Bakar menyiarkan rakaman audio itu dan paparan perbualan tersebut dalam satu sidang media di sini bagi mendedahkan perbuatan yang disifatkannya ‘mengejutkan’ kerana beliau begitu mengidolakan pemimpin itu.
Rizal berkata tujuan beliau memanggil sidang media berkenaan adalah supaya pemimpin berkenaan menjawab dakwaan berhubung skandal itu dalam tempoh 36 jam.
“Saya menyeru kepada beliau untuk tampil memberi penjelasan dalam tempoh 36 jam sama ada bahan-bahan yang saya kemukakan hari ini benar atau tidak,” katanya.
Rizal berkata bahan-bahan yang dianggapnya sebagai bahan bukti itu diperoleh di dalam sampul surat A3 yang ditinggalkan pada pengelap cermin keretanya, kira-kira seminggu yang lepas. – BERNAMA