EXCO Puteri UMNO, Khaidhirah Abu Zahar menjadikan bapanya iaitu Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin sebagai idola yang dikagumi serta banyak memberi inspirasi dalam hidupnya.
Wanita yang mesra disapa Dira itu berkata, beliau ingin meneruskan perjuangan bapanya dalam apa jua industri yang diceburi.
Malah, wanita berusia 34 tahun itu percaya dan yakin bahawa setiap apa yang dilakukan perlu disertakan dengan niat baik.
“Impian saya adalah nak menjadi sehebat arwah ayah. Seorang yang dihormati dan dia sentiasa membantu anak bangsa dan memberi kepada negara dan tempatnya.
“Tak kisah dalam industri apa yang saya diceburi dan tidak semestinya dalam politik. Kalau jadi pelakon pun, kena berkualiti.
“Paling penting, dalam apa sahaja yang saya buat, saya percaya kalau kita ada niat dan tujuan yang baik mampu untuk berjaya,” kata Dira dipetik mStar Online, hari ini.
Kehadiran Dira dalam dunia politik ternyata menarik perhatian ramai malah beliau adalah antara selebriti yang kini dilihat semakin aktif dalam bidang berkenaan.
Menurut Dira, beliau mengakui antara faktor yang mendorong diri sertai dunia politik adalah untuk menyambung legasi arwah bapanya yang dahulu merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.
“Satu perkara tentang ayah, apa-apa pun niat dia nak tolong anak-anak bangsa. Benda itu membuatkan saya bersemangat untuk teruskan legasinya.
“Pada masa yang sama, saya ingin berterima kasih kepada semua orang yang pernah bersama ayah dan kepada mereka yang percaya ayah untuk pimpin menjadi masyarakat yang lebih baik.
“Tak salah, saya dah kutip pengalaman merantau di Kuala Lumpur dan belajar banyak benda untuk berkongsi dengan mereka di kawasan kampung,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dira juga sempat berkongsi pengalaman dan detik-detik awal mengikuti bapanya berkempen sebagai wakil rakyat.
Katanya, Allahyarham merupakan guru sekolah dan mula berkecimpung dalam dunia politik pada tahun 1986 di mana ketika itu usia Dira baru menginjak dua tahun.
“Ayah mula berkempen pada 1986, ketika itu saya baru dua tahun. Proses dia berkempen untuk jadi wakil rakyat.
“Ketika itu, saya tak tahu apa yang dia buat tapi bila dah masuk sekolah menengah baru saya faham tujuan sebenar ayah. Setiap kali pulang ke rumah selepas habis majlis dia akan bercerita dengan ibu saya tentang apa yang berlaku.
“Apa yang kita boleh lakukan untuk golongan anak muda dan bangsa. Masyarakat yang macam mana kita nak wujudkan. Itulah ayah,” kongsi Dira.
Untuk rekod, sumber berkata Bekas Ketua Menteri Melaka yang kelapan itu meninggal dunia pada 11 Julai 2013 di kediamannya di Merlimau akibat kencing manis dan komplikasi buah pinggang. – MYNEWSHUB.CC/AM