KUALA LUMPUR – Pengurusan Divisyen Tol IJM mengumumkan pemberian diskaun tol di tiga lebuh raya sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Tiga tol berkenaan adalah Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).
Pengurusan Divisyen Tol IJM dalam satu kenyataan media berkata, diskaun tol 10 peratus akan diberikan kepada pengguna ketiga-tiga lebuh raya berkenaan.
“Diskaun tol 10 peratus bagi Kelas 1 di semua Plaza Tol Besraya, diskaun 10 peratus bagi Kelas 1 di semua plaza tol NPE dan diskaun tol 10 peratus bagi kelas 1 di tol Ampangan sahaja.
“Diskaun tol ini akan bermula pada 9 Mei 2018 dari pukul 12.01 pagi hingga 12 tengah malam,” kata kenyataan itu hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff dalam kenyataan sama berkata, pemberian diskaun itu sebagai inisiatif tanggungjawab korporat sempena PRU14.
Kata beliau, malah pengguna lebuh raya berkenaan berpeluang menikmati minuman Isotonik Revive secara percuma selagi stok masih ada.
Manakala, katanya, pada 10 Mei 2018, pengguna lebuh raya terbabit bakal menikmati minuman Wonda Coffee secara percuma di semua plaza tol Lebuhraya Baru Pantai (NPE). – MYNEWSHUB.CC