SIAKAPKELI dan Malaysiakini, dua laman hiburan dan berita antara saluran penyebaran fitnah oleh DAP dalam kempen khas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini, menurut dokumen dalaman yang diperoleh Mynewshub.
Ia memaparkan minit laporan mesyuarat persediaan PRU14 pada 24 Mac lalu di ibu pejabat DAP di ibu negara itu yang turut menyenaraikan 24 orang menghadiri mesyuarat tersebut, majoritinya ahli unit publisiti.
Perkembangan ini menyusuli pendedahan oleh ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad (gambar bawah) pada 5 Mei lalu, yang mendedahkan DAP mengedarkan video dan pelbagai bahan fitnah terhadap pemerintah sebagai kempen PRU14 parti itu.
Cetakan minit mesyuarat itu menyenaraikan perkembangan semasa kempen DAP menjelang PRU14, termasuk melibatkan strategi media sosial.
Di bawah minit “Social media strategy undate“, dicatatkan pengendali Siakapkeli mencadangkan satu artikel mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad dihasilkan dengan bayaran RM12,190.
Bagaimanapun, Yeo Bee Yin, pembantu kepada Ketua Publisiti Tony Pua, mencadangkan DAP menghasilkan sebuah video dan dikongsi menerusi laman Siakapkeli, menurut catatan itu.
Minit tersebut turut mencatatkan aktiviti mencari dana pilihan raya dengan Malaysiakini, melalui pautan iklan yang membawa pembaca ke laman ubahnow.my.
Siakapkeli merupakan laman berita dan hiburan yang juga aktif di Facebook, dengan mempunyai lebih 3 juta pengikut.
April lalu, halaman Facebooknya mengadakan undian secara langsung memilih parti politik seakan-akan pilihan raya umum, yang disertai ribuan pengguna Facebook.
Undian itu bagaimanapun segera dibatalkan tidak lama selepas berlangsung, dengan alasan ia bukan satu tindakan yang wajar dilaksanakan secara terbuka.
Tindakan Siakapkeli itu memperlihatkan satu usaha laman itu untuk menarik minat pengunjung halamannya kepada politik menjelang pilihan raya, pada masa itu politik sedang hangat dan tular di media sosial.
Menurut dokumen itu lagi, DAP memberi tumpuan pada lima isu dalam kempen pilihan rayanya, antaranya kos sara hidup, manifesto, dan 1MDB.
DAP dalam kempen fitnahnya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara langsung dengan masalah 1MDB walaupun jawatankuasa Parlimen yang disertai wakilnya sendiri tidak dapat memastikan dakwaan ini.
Beberapa minggu lalu, ahli veterannya dan wakil lapan penggal, Dr. Tan Seng Giaw digugurkan daripada pencalonan dalam PRU14 selepas enggan mengaitkan Najib secara langsung dengan 1MDB kerana ketiadaan bukti.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) semalam menyifatkan DAP sebagai sebuah kilang fitnah yang sentiasa berusaha memburukkan imej BN dan pemimpinnya.
“Hari ini saya terbaca di telefon pintar saya berita seorang yang mengendalikan berita untuk DAP mendedahkan dia tidak sanggup lagi untuk menabur fitnah kepada kerajaan yang selama ini dijadikan sebagai arahan kerja mereka…Ia memang dirancang.
“DAP kata kalau undi PKR maknanya sama dengan undi DAP, jadi maknanya jika kita berbuat demikian kita memberi kuasa kepada DAP…Saya nak tanya selama ini DAP pernah ke sayang kepada Felda atau pernah ke memperjuangkan agenda bumiputera.
“Apa akan jadi kepada UiTM dan Felda itu sendiri pada masa akan datang kalau dalam hati mereka tidak ada langsung memikirkan soal itu,” katanya. – Mynewshub.cc