SELAMA hampir dua minggu menanggung sakit, akhirnya suami kepada pelakon Hanis Zalikha iaitu Hairul Azreen jalani pembedahan.
Hairul menanggung kesakitan tersebut ketika penggambaran filem berjudul Paskal akibat patah tulang jari pada tangan kanannya.
Difahamkan, pelakon itu merahsiakan kecederaan yang dialami olehnya kerana enggan penggambaran tertangguh dan juga menyusahkan ramai pihak.
Perkara tersebut malah dikongsi oleh pelakon itu sendiri menerusi salah sebuah entri terbaru yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Isnin.
“Tulang saya patah! 9/3/2018 ramai yang tak tahu, saya shooting filem Paskal dengan keadaan cedera. Produksi dan pengarah minta saya rehat tapi saya tidak mahu.
“Sehinggalah 27 Mac, saya rasa tangan semakin teruk dan saya ambil keputusan untuk buat pembedahan. Hari ini bedah, esok saya cakap saya dah boleh belakon. doktor dan produksi hanya geleng kepala,” ujar Hairul.
Perkongsian itu ternyata menarik perhatian dan menerima pelbagai reaksi daripada pengikutnya di media sosial berkenaan.
Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap apa yang menimpa Hairul selain mendoakan kesejahteraan dan kesihatan aktor berkenaan.
Sehingga kini, perkongsian tersebut dilihat terus mendapat perhatian sekaligus menerima lebih 43,000 tanda suka. – MYNEWSHUB.CC/AM