KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang bekas juruteknik yang didapati bersalah mengedar 61.21 gram dadah jenis metamfetamina, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan yang dikemukakan Mohd Moriff Zulkarnaim, 30, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Mohd Moriff didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Lorong Sekilau 31 pada 11.30 pagi, 1 Nov 2016, menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Mariana menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa terdapat dua lagi individu dikenali sebagai ‘Boyot’ dan ‘Mek Ti’ yang kerap datang ke situ kerana semasa serbuan dilakukan hanya terdapat tertuduh di rumah tersebut.
“Tertuduh menyatakan rumah itu disewa lelaki bernama Md Shah dan Mek Ti merupakan kawan kepada Md Shah serta dia sudah banyak kali berjumpa Mek ti. Namun menghairankan apabila dia tidak mengetahui nama sebenarnya dan mahkamah berpendapat kewujudannya hanya rekaan,” katanya.
Mariana menambah dakwaan Md Shah sebagai penyewa rumah itu juga dipatahkan oleh keterangan pemilik rumah yang mengesahkan tertuduh adalah individu yang membayar sewa beberapa bulan sebelum serbuan dilakukan.
Pada perbicaraan, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal mengemukakan tujuh saksi sementara pihak pembelaan yang diwakili peguam Ghazali Ismail membawa tiga saksi termasuk tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…