CEF selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob tidak pernah berputus harap dan sentiasa berdoa agar ibu mertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor terbuka hati menerima dirinya dan isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz sebagai ahli keluarga.
Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob menjelaskan dia dan isteri tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap wanita itu walaupun teruk disakiti.
Malah, pemilik restoran SukaSucre Bistro itu tetap menganggap isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak itu sebagai ibu kandungnya.
“Saya dan isteri tidak pernah menyimpan sebarang perasaan benci kerana sebagai anak dan menantu, beliau tetap ibu (mertua) dan ibu kandung kepada isteri saya.
“Selama 11 tahun kami berkahwin, kami sentiasa mendoakan agar hati beliau terbuka untuk menerima kami sekeluarga,” katanya dipetik mStar Online.
Dalam pada itu, cef berusia 40 tahun itu berkata tindakannya mendedahkan keperitan hidup yang dialami selama 11 tahun itu bukanlah untuk membuka aib mana-mana pihak.
Sebaliknya, Fazley menjelaskan dia dan isteri hanya berkongsi kisah sebenar kehidupan mereka sekeluarga kerana ingin menunaikan wasiat terakhir Allahyarham bapanya iaitu Datuk Yaakob Mohammad.
“Sebenarnya pada saya, pengkongsian itu adalah tanggungjawab. Bukan sengaja nak cari salah atau membuka aib mana-mana pihak.
“Ia juga wasiat daripada arwah bapa yang meminta saya untuk menceritakan kebenaran mengenai saya, isteri dan arwah apabila apabila tiba masa yang sesuai.
“Saya rasa, sekarang adalah masa sesuai untuk berkongsi pengalaman kehidupan saya sekeluarga,” jelas Fazley.
Baca: Anak, Menantu Rosmah ‘Amuk’ Di Media Sosial
Katanya lagi, dia memilih untuk mendedahkan perkara itu di laman sosial kerana berasa lebih dekat dengan para pengikutnya dan boleh dijadikan contoh teladan kepada untuk semua pihak.
“Saya bukan nak pergi pada media. Bagi saya, laman sosial ini lebih peribadi. Dapat cerita lebih dekat dengan pengikut di Instagram.
“Medium itu paling utama pada peminat, jadi, saya kongsi pengalaman yang terjadi supaya mereka juga boleh mengambil perkara itu sebagai teladan. Apa yang utama adalah kesabaran dan berani kerana benar,” ujarnya.
Fazley dan Azrene berkahwin pada tahun 2007 dan pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan. – MYNEWSHUB.CC