SEBAGAI pelawak dan pengacara, Shuk sendiri mengakui bahawa dia sering berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mengendalikan program siaran langsung di radio mahupun media sosial.
Menurut Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, kebiasaanya segmen yang memerlukan dia dan rakan penyampai yang lain berbual dengan pemanggil, ia akan dirakam terlebih dahulu sebelum disiarkan.
“Ramai pemanggil yang terlepas cakap tapi kami buat rakaman dahulu terutama segmen berborak dengan mereka.
“Mereka tidak tahu garis panduan apa yang boleh dan tidak boleh disiar. Kebanyakan jika ada live di Facebook melibatkan segmen yang tidak melibatkan penonton,” katanya dipetik portal mStar Online.
Hal ini kerana baru-baru ini, terdapat satu insiden berlakunya gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah apabila dia telah menerima satu panggilan berbaur gangguan daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Azrul’ ketika menghadiri program FBI Live Facebook pada Selasa minggu lalu.
Program berkenaan merupakan di bawah arahan bekas penyampai radio HOT FM, Faizal Ismail yang mana terdapat seorang individu dikenali sebagai ‘Azrul’ menegur pemakaian tudung Izzah ketika mereka bertemu di sebuah stesen televisyen tempatan.
Namun teguran yag diberikan itu dilihat bagaikan sengaja menjatuhkan imej seorang wanita kerana dia dengan tanpa segan silu menyebut bahagian badan Izzah yang kononnya terdedah sehingga membuatkan dia terpanggil untuk menegur.
Dalam masa yang sama, sebagai pengacara yang sering membuat lawak lucah dan ‘double meaning‘, pelawak berusia 31 tahun itu turut dibantu oleh Ajak dan Fizi selaku penyampai berpengalaman.
“Perlu banyak berhati-hati, biasanya jika berborak hampir terlepas kata, Ajak dan Fizie akan cepat-cepat potong,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Shuk ada mengendalikan program FB Live bagi program Gegar Vaganza sekitar dua tahun lalu dan ia turut dilewatkan selama lima minit.
Perkara itu bertujuan untuk menapis beberapa perkataan yang dirasakan tidak sesuai bagi tontonan umum.
“Saya ada kendalikan FB live untuk program realiti tapi itu pun dilewatkan lima minit. Mereka akan tapis dan ‘mute’ kan kata-kata yang tidak sesuai,” tambahnya lagi. –MYNEWSHUB.CC/AH