WASHINGTON – Sebuah syarikat berpangkalan di Seattle telah mencipta headphone istimewa yang boleh membersihkan tahi telinga dalam tempoh 35 saat.
Menurut portal Mail Online, fon kepala canggih yang dihasilkan oleh syarikat SafKan dengan kerjasama beberapa doktor itu dapat menggantikan putik kapas berbahaya dan lawatan mahal ke klinik pakar.
Peranti berkenaan boleh membersihkan kedua belah telinga secara serentak dengan menyuntik campuran hidrogen peroksida ke dalam telinga untuk melonggarkan tahi yang tersumbat sebelum menyedutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SafKan, Sihal Diwan berkata, teknologi terbaharu itu menjadikan pembersihan telinga lebih mudah dan selamat selain menjimatkan masa serta wang pengguna melalui prosedur yang lazim.
“Masalah tahi telinga berlebihan dan keras menjejaskan beratus-ratus juta orang di seluruh dunia, tetapi inovasi penjagaan telinga terlalu kecil dalam tempoh hampir dua ratus tahun.
“Fon ‘OtoSet’ kami akan membantu doktor perubatan merawat lebih banyak pesakit, dan pada masa yang sama mengurangkan kos buruh serta rujukan yang tidak perlu kepada pakar,” katanya.
SafKan baru-baru ini memperoleh dana AS$1 juta (RM3.87 juta) untuk melancarkan penggunaan alat tersebut di Pusat Perubatan Universiti Washington, Pusat Perubatan Stanford, Cedars-Sinai dan Pusat Perubatan Saint John.
Harga alat berkenaan masih belum ditentukan dan Diwan berkata versi yang akan dijual terus kepada pengguna juga sedang dibangunkan.
Diwan berkata, pihaknya berharap versi pengguna itu akan mengurangkan penggunaan putik kapas yang boleh merengsakan kulit dan menyebabkan jangkitan bakteria pada gegendang telinga. – MYNEWSHUB.CC