PARA peniaga bazar digalakkan menggunakan pembungkus makanan dan minuman daripada bahan mudah lupus serta mesra alam bagi mengelakkan pencemaran berlaku.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata, bagi memastikan kawasan bandar raya itu bebas daripada isu pencemaran selain menjamin persekitaran hidup yang lebih sihat penggunaan bahan mesra alam amat penting.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya membawa beg atau bekas sendiri untuk mengisi bahan makanan yang dibeli bagi mengelakkan penggunaan beg plastik.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap tahun terpaksa memperuntukkan kewangan yang besar bagi menguruskan sisa pepejal termasuk plastik.
“Justeru, langkah orang ramai membawa beg sendiri dan para peniaga menggunakan bungkusan bahan mudah lupus bukan sahaja membantu menangani isu pencemaran, tetapi membantu MBSA menjimatkan perbelanjaan pengurusan sisa pepejal,” katanya pada akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan sempena Program Bazar Mampan di tapak bazar Ramadan di Seksyen 17, Shah Alam.
MBSA telah menggerakkan inisiatif melarang penggunaan pembungkusan makanan dan minuman dari bahan polisterin kepada para peniaga di bawah ‘Kempen Pengurangan Beg Plastik Dan Bebas Polisterina Shah Alam’ pada tahun ini.
Sebanyak 1,971 permit telah dikeluarkan oleh MBSA bagi bulan Ramadan ini kepada peniaga yang membabitkan 33 lokasi di bazar Ramadan sekitar Bandaraya Shah Alam. – MYNEWSHUB.CC/MIZE