KUALA SELANGOR – Golongan graduan disaran agar lebih terbuka untuk memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya serius memandangkan pelbagai bantuan termasuk modal awalan hingga RM50,000, disediakan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata modal berniaga kini lebih mudah diperoleh khususnya untuk graduan, selain adanya pelbagai agensi kerajaan yang bersedia membimbing usahawan baharu sehingga berjaya.
āKalau graduan kata setelah tamat belajar tiada modal mahu berniaga, itu bermakna mereka kurang ambil tahu kerana kerajaan telah banyak kali menguar-uarkan perkara ini cuma mereka kena disiplin dan serius.
āKita sudah agihkan modal awalan sejak beberapa tahun lepas dan menyediakan pelbagai kursus secara percuma kepada graduan supaya mereka sentiasa bersedia serta menjadi usahawan berilmu,ā katanya selepas program sembang santai bersama kira-kira 100 pelajar Universiti Teknologi Mara kampus Puncak Alam yang juga anggota Kelab MyAgrosis di sini, malam tadi.
Beliau berkata jalinan kerjasama erat antara FAMA dengan beberapa syarikat ternama juga sering digunakan sebagai platform kepada graduan untuk mengikuti pelbagai latihan dan menuntut ilmu keusahawanan sebelum memulakan perniagaan sendiri.
Badruddin berkata pelaksanaan program santai itu adalah antara pendekatan FAMA bagi menyebar luaskan maklumat mengenai bantuan keusahawanan yang disediakan agensi tersebut selain memupuk minat graduan untuk menceburi bidang perniagaan.
Katanya hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan berdaya keusahawanan bukan sekadar ācakap kosongā kerana sebuah kompleks Agrobazar berkeluasan 2.5 hektar yang sedang dibangunkan di Presint 4, Putrajaya akan memberi ruang kepada 100 graduan usahawan untuk berniaga.
Beliau berkata graduan usahawan yang akan ditempatkan di kompleks itu juga akan dipilih menerusi sesi temuduga bagi memastikan mereka serius serta berdisiplin dan ini adalah untuk mengelakkan wujudnya peniaga yang sekadar āhangat-hangat tahi ayamā.
āKompleks berkonsepkan pasar raya ini akan diuruskan sendiri oleh graduan usahawan, malah perniagaannya juga dijalankan secara individu yang mana 100 usahawan terpilih akan membawa masuk pelbagai produk mereka di situ.
āDari sini, kita mahu graduan sertai alam perniagaan yang lebih maju kerana FAMA akan jadikan kompleks ini sebagai pusat tumpuan pelancong memandangkan pelbagai barangan sama ada basah, runcit, makanan setiap negeri dan sebagainya akan dipasarkan di sini,ā katanya.
Setakat April, sejumlah 867 agropreneur muda FAMA atau usahawan MyAgrosis meliputi 15 bidang antaranya peruncitan, akuakultur, bio teknologi, perkhidmatan makanan, ternakan dan florikultur telah menerima manfaat seperti kursus serta pembiayaan mikro daripada agensi tersebut. – BERNAMA