ALAHAI… Bagi yang mudah terlupa, imbas balik pada 2014 lalu, Rafizi Ramli pernah dedah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mencadangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu malahan mendakwa, Menteri Kewangan selepas Daim, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun enggan melaksanakan cukai baharu itu kerana konon tidak mahu membebankan rakyat.
“Semak balik ucapan belanjawan Anwar pada tahun 1992. GST mula-mula disebut oleh Daim. Apabila jadi Menteri Kewangan, Anwar menerangkan bahawa oleh kerana kewangan negara yang baik tidak perlulah GST,” kata Rafizi.
Lucunya, Daim keluar dari ‘persembunyian’ dan memilih pentas ceramah pembangkang berlogo PKR di Pendang, Kedah kelmarin untuk sindir GST walhal beliaulah antara individu terawal mengutarakan keperluan cukai tersebut.
Namun, pusingan U bekas bendahari UMNO Pusat yang kini berusia 80 tahun, itu bukanlah sesuatu pelik, malah sudah dijangka kerana beliau sanggup gadai prinsip dengan memburukkan pula kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ini dilakukannya demi mahu menonjolkan sokongan terhadap ‘rakan karibnya’, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ironi belum sempat Daim beralih pentas ceramah, semalam juga klip video beliau menyokong GST tular di media sosial.
Menerusi rakaman dipercayai dirakamkan pada tahun 2014 itu , Daim turut mengulangi hasrat ‘murni’ beliau bagi perkenal GST dengan mengatakan cukai itu amat perlu kerana sumber asas pendapatan kecil yang dimiliki negara.
Katanya dalam video tersebut, beliau telah lama ‘menginginkan’ pelaksanaan GST iaitu sejak tahun 1984 lagi. Daim yang menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991, berkata GST memberikan banyak pelepasan cukai.
“Saya memang dari dulu lagi iaitu sejak 1984 hendak memperkenalkan GST disebabkan asas pendapatan negara pada ketika itu sangat kecil iaitu hanya 40 peratus sahaja yang datang daripada pihak Petronas sendiri.
“Namun waktu itu kerajaan (pimpinan Mahathir) mengatakan kita masih belum bersedia. Selepas itu pun, Anwar mahu melaksanakan GST tetapi apabila sekarang sudah jadi pembangkang, beliau pula tidak setuju,” kata Daim.
Sebenarnya, lama sebelum itu, Daim dalam pembentangan Bajet 1989 di Parlimen bertarikh 21 Oktober 1988, telah berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai nilai tambah (VAT) sama seperti kaedah GST.
Ia dianggap sebagai cukai yang agak telus menyeluruh dan saksama serta telah diterima pakai di 39 buah negara pada ketika itu selain dapat mengelakkan ketirisan hasil akibat dimanipulasi peniaga tidak bertanggungjawab.
“Esok kalau ada masalah, mana nak cari duit untuk berbelanja? Ini adalah cukai penggunaan dan cukai saksama …kalau tak mahu banyak cukai, jangan berbelanjalah,” katanya dalam rakaman video berdurasi lebih seminit itu.
Malah, Daim turut menyatakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah terhad serta mempunyai beberapa kelemahan sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada pihak kerajaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA