PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menyifatkan keputusan mengejut Zulfahmi Khairuddin menamatkan karier dalam perlumbaan Moto2 tempoh hari bukanlah sesuatu yang mudah.
Penyertaan Hafizh dalam saingan kelas tertinggi MotoGP memberi ruang untuk Zulfahmi menggantikan tempatnya dalam pasukan SIC Racing di Moto2 pada saat-saat akhir, Februari lalu.
Bagaimanapun, Hafizh meminta orang ramai untuk menghormati keputusan rakan seangkatannya itu kerana keputusan tersebut diambil dengan hati yang berat.
“Jujurnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk diputuskan,”
“Ia bukan semudah menghidupkan enjin dan terus meraih kemenangan. Semua motosikal Moto2 menggunakan enjin sama tetapi kami menunggang menggunakan chasis berbeza dan skil tunggangan memainkan peranan utama,” katanya memetik BH Online.
Hafizh, yang menyertai kelas pertengahan itu selama empat musim sejak tahun 2014 hingga 2017 berkata, dia juga mempunyai masalah membiasakan diri dengan motosikal yang digunakan untuk Moto2 pada awalnya.
“Saya tidak bermula dengan terus ke kejuaraan dunia. Saya cuba menunggang motosikal 600cc di Kejuaraan Australia sebelum berlumba di CEV (Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia).
“Kemudian, selepas beberapa perlumbaan atas tiket wildcard dalam kejuaraan dunia, saya beraksi dalam kelas berkenaan (Moto2) untuk empat musim,” ujarnya mempertahankan Zulfahmi.
Selain itu, Hafizh berkata tahap pelumba Eropah dalam kelas Moto2 adalah sangat tinggi disebabkan mereka mengorbankan kehidupan mereka hanya untuk berlumba.
Selain itu, Hafizh turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa faktor penting yang boleh mempengaruhi prestasi seseorang pelumba itu dalam saingan Moto2.
“Kamu perlu mengenali krew dan daripada sudut teknikal bagi memperoleh keyakinan diri dengan motosikal dan juga mekanik. Zulfahmi tidak berkesempatan untuk semua perkara itu kerana dia adalah pengganti saya pada saat akhir,” jelasnya.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai pengganti Zulfahmi yang sehingga kini menjadi tanda Tanya, Hafizh berkata tiada pelumba motosikal yang lain mempunyai keupayaan lebih baik dari Zulfahmi.
“Saya tidak dapat memikirkan sesiapapun yang mempunyai keupayaan sama sepertinya untuk menggantikan tempat itu.
“Mungkin Azlan Shah (Kamaruzaman). Dia mempunyai pengalaman dalam Moto2 tetapi dia terikat dengan kontrak bersama Kawasaki. Dia pernah berlumba dalam kejuaraan dunia selama dua musim dari tahun 2014 hingga 2015 bersama IDEMITSU Honda Team Asia,” katanya.
Terdahulu, Zulfahmi mengesahkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Sepanyol minggu lalu adalah perlumbaan terakhirnya bersama pasukan SIC Racing.
Pelumba berusia 26 tahun itu membuat keputusan berkenaan selepas mendapati sukar untuk menyesuaikan dengan saingan Moto2 yang jauh berbeza dengan apa yang disertainya sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC/EZ