KUDAT – Pengorbanan anggota tentera menjaga keselamatan negara bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan aman dan selamat haruslah dihargai oleh semua rakyat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah mereka menjaga keselamatan negara pada setiap masa dengan semangat juang dan ketahanan diri yang mantap dan tinggi.
“Tugas ini amat mulia di sisi agama dan disanjung rakyat kerana keamanan dan keselamatan adalah dua perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Komitmen setiap anggota tentera ini bertujuan memastikan anasir tertentu yang mahu menceroboh negara dapat dihapuskan atau dipatahkan,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda yang juga Komander 504 Askar Wataniah Berpengkalan di Bukit Ketri, Padang Besar, Perlis bertitah demikian selepas majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di atas kapal Auxilliary Bunga Mas 5 di perairan Kudat di sini, malam ini.
Turut hadir Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob, Komander Angkatan Tentera Bersama 2 Brig-Jen Zarondin Md Amin, Timbalan Komander ESSCom Brig-Jen Datuk Badrul Hisham Muhammad dan Pegawai Memerintah Kapal Bunga Emas 5 Komander Banggau anak Limbang.
Tuanku Syed Faizuddin mengetuai delegasi 25 ketua jabatan negeri Perlis serta ahli korporat menyertai Op Pasir 2018 di kawasan Timur Sabah di Kudat bermula dari 24 Mei hingga esok.
Baginda juga bertitah bahawa kawasan pulau tidak terkecuali daripada ancaman dengan keganasan oleh penceroboh kini menjadi ancaman serius dan membimbangkan selain penculikan, penyeludupan serta perdagangan manusia dan barangan terkawal.
“Justeru itu, tuan-tuan hendaklah sentiasa dalam siap siaga, memahami dan mengenal pasti semua bentuk ancaman yang boleh berlaku di pulau-pulau yang menjadi sasaran utama musuh…jangan berkompromi dengan musuh sebaliknya laksanakan tugas dengan penu integriti, profesional dan efektif,” titah baginda.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin dan delegasi melawat pos-pos tentera dan polis di Pulau Mandi Darah, Pulau Tigabu, Pulau Malawali dan Pulau Balambangan di perairan Kudat untuk menyampaikan sumbangan kepada pasukan keselamatan yang bertugas pada Ramadan dan Aidilfitri.
Op Pasir, yang merupakan program tahunan kerajaan Perlis, dianjurkan buat kali ke-14 dengan delegasi melawat kampung-kampung untuk memberi semangat serta menyampaikan sumbangan seperti bahan bacaan, kuih raya dan pelbagai keperluan lain yang disumbangkan pihak korporat. – BERNAMA