KUALA LUMPUR – Program berbuka puasa beramai-ramai, Iftar@Kuala Lumpur 2018 di Dataran Merdeka di Jalan Raja yang bermula hari ini, menyasarkan kira-kira 95,000 warga kota termasuk pelancong luar negara, pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rafli berkata pelaksanaan program yang memasuki tahun ketujuh itu menyaksikan peningkatan bilangan pengunjung iaitu 66,080 pada 2016 manakala 95,000 orang pada tahun lepas.
“Tahun ini, kami optimis sasaran 95,000 pengunjung sebagaimana tahun lepas. Masyarakat sudah sedia maklum dengan pelaksanaan program ini yang sudah menjadi antara program wajib pada bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Terdapat 15 aktiviti dilaksanakan dengan penyertaan lebih 200 sukarelawan pada Iftar@Kuala Lumpur 2018 antaranya Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, jualan melalui trak makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.
“Tahun ini, kami sediakan lebih banyak perkhidmatan bergerak seperti kaunter zakat, produk pakej umrah, kaunter ikrar derma organ, sekali gus memberikan kemudahan kepada orang ramai yang hadir ke sini,” katanya.
Sebanyak lapan kawah bubur lambuk disediakan untuk 600 orang manakala 4,000 pek makanan disediakan antaranya terdiri daripada nasi berlaukkan ayam masak merah, kurma, sebotol air minuman.
Walaupun cuaca hujan dan penganjur terpaksa menukar lokasi ke Dataran Underground, ramai warga kota menyertai program itu dan meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga serta rakan masing-masing.
Selepas berbuka, pengunjung menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah serta mendengar ceramah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Iftar@Kuala Lumpur 2018 diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan bermula hari ini, esok, 2 dan 3 Jun serta 9 dan 10 Jun. – BERNAMA