PENYANYI Elly Mazlein meluahkan rasa kecewa apabila bekas suami, Azmi Hatta dipercayai mahu memisahkan dia dengan anak mereka iaitu Putri Sara Sefhia.
Malah, Elly juga mendakwa pengarah drama itu mahu dia dipenjarakan atas tuduhan tidak bertanggungjawab terhadap anak mereka.
Ekoran itu, Elly sekali lagi menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen apabila ramai antara mereka mula membuat spekulasi mengenai hal tersebut.
Sedar isu tersebut menjadi bualan ramai, Faye Kusairi yang juga isteri kepada Azmi nampaknya telah tampil membuka mulut membalas kenyataan netizen yang bertanyakan berhubung isu tersebut.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi berkata, dia meminta Elly untuk tampil menunjukkan bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.
Faye turut menjelaskan kes yang difailkan itu bukanlah mahu penjarakan Elly tetapi ia berikutan kesalahan penyanyi berusia 38 tahun itu yang melanggar perintah mahkamah.
Justeru, Faye berharap orang ramai tidak membuat sebarang tohmahan dan tuduhan melulu berhubung perkara berkenaan sebaliknya periksa fakta terlebih dahulu sebelum menghentam secara berjemaah.
Pada masa sama, Faye juga turut mencadangkan agar orang ramai meminta Elly sendiri untuk kemukakan bukti berhubung isu berkenaan. – MYNEWSHUB.CC