JANJI Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak semudah disebut dan dijanjikan sebelum pilihan raya 9 Mei lalu.
Apabila sudah berada di tampuk pemerintahan negara di Putrajaya, realiti yang jauh lebih rumit terpaksa dihadapi.
Tidak mudah untuk janji-janji yang berani itu dipadankan dengan realiti dalam pentadbiran kewangan negara.
Kerajaan telah menetapkan kadar GST pada 0 peratus bermula 1 Jun, yang sebenarnya hanya langkah awal sebelum pemansuhan sistem GST seperti dijanjikan.
Penetapan kadar 0 peratus bukan pemansuhan, dan belum ada penjelasan kerajaan bila ia hendak dilaksanakan.
Pemansuhan ini pula mesti diganti dengan cukai lain supaya pendapatan negara tidak merosot dengan mendadak dalam jumlah yang amat besar.
Kerajaan bakal berdepan cabaran lebih besar untuk mencapai bajet yang berimbang ekoran tekanan ke atas pendapatan ini.
Pada tahun 2017, pendapatan dari GST ialah sebanyak RM44 bilion, menyumbang 17 peratus pendapatan kerajaan.
Apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan, kerajaan tidak akan dapat menampung jumlah RM44 bilion itu.
Pada tahun 2014, jumlah sumbangan terbesar SST diperolehi hanya sebanyak RM17 bilion, jauh lebih kecil daripada kutipan hasil GST.
Kerajaan pula telah berjanji untuk mengawal harga minyak dan memberikan subsidi bersasar pada mereka yang layak.
Jumlah ini memerlukan pendapatan lain dalam jumlah yang sama, dan tidak cukup dengan memotong perbelanjaan yang jumlahnya tidak sebesar mana.
Agensi penarafan Moody’s Investors Service pernah memberi amaran agar kerajaan tidak memansuhkan GST.
Menurut Moody’s, pemansuhan akan menuntut langkah lain untuk menampung kesannya yang besar kepada pendapatan negara.
Ini bakal mengakibatkan kerajaan bergantung pada pendapatan daripada minyak seperti yang berlaku sebelum ini.
Masalah dihadapi ini bakal melambatkan pembuatan beberapa keputusan penting kerajaan, kerana tumpuan pada isu GST dan pelaksanaan semula SST.
Pendapatan negara juga akan terikat dengan janji-janji lain dalam manifesto PH dan banyak lagi janji lain yang dijaja mereka sejak beberapa tahun lepas.
Isu cukai ini ialah janji utama PH, dan mungkin sebab paling utama ramai mengundi mereka, dengan harapan menjelang Aidilfitri ini, perbelanjaan harian akan lebih murah. – Mynewshub.cc