TERDAHULU kemunculan pertama pelakon, Janna Nick sebagai pengacara baru mengemudi program hiburan Melodi mendapat reaksi negatif daripada netizen.
Bagaimanapun setelah memasuki bulan kelima, Janna akhirnya mampu menarik nafas lega apabila peminat sudah boleh menerima caranya mengendalikan program tersebut meskipun mengakui pernah takut untuk bersuara.
“Alhamdulillah peminat dan penonton Melodi pun sudah boleh menerima cara pengacaraan saya.
“Sebab saya baru nak faham konsep rancangan Melodi bagaimana, sebelum ini takut nak bersuara. Bimbang kalau-kalau ada yang marah dan terasa hati.
“Rupanya rancangan ini memang kena kekalkan konsep ‘makcik bawang’ dan saya kena jugalah jadi bawang,” katanya dipetik Sinar Online.
Ujar pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu lagi, dia juga mengambil pendekatan lebih proaktif dengan banyakan membaca pelbagai bahan hiburan setiap hari sebelum beraksi.
“Rutin saya setiap hari akan selak akhbar dan skrol media sosial untuk mencari bahan hiburan dan mengikuti perkembangan rakan artis dan isu-isu semasa.
“Jadi saya berterima kasih kepada rakan wartawan, tanpa mereka saya takkan ada info untuk bercakap ketika mengacarakan Melodi,” ujar Janna.
Sekadar imbas kembali, kemunculan pertama gandingan Janna dan pelawak Ajak Shiro sebagai hos baru program hiburan Melodi sebelum ini dilihat teruk dikritik netizen.
Rata-rata antara mereka menganggap dia kelihatan kaku atau ‘kayu’ biarpun mengacarakan program hiburan popular itu tidak sampai sejam. – MYNEWSHUB.CC/AM