KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dinasiharkan supaya berhenti menunding jari kepada pihak lain sebaliknya berusaha menangani kemerosotan prestasi pasukan ‘The Red Warriors’ (TRW) dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengerusi komuniti penyokong bola sepak baharu, The Red Warriors City Club (TRWCC), Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz berkata Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan perlu memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kedudukan Kelantan dalam pusingan kedua saingan Liga Super musim ini.
“Tindakan Bibi Ramjani mendedahkan kelemahan pengurusan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi sebaliknya memanggil pihak pengurusan untuk mencari jalan bagi memperbaiki prestasi buruk TRW,” katanya ketika ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Bibi Ramjani bahawa terdapat usaha piihak tertentu untuk menjatuhkan pasukan Kelantan dan persatuan tersebut pada musim ini.
“Kami (TRWCC) turut mengingatkan KAFA bahawa penyokong sudah hilang sabar dengan kemelut yang melanda sekarang dan mahu persatuan itu segera menanganinya,” katanya.
Selepas 12 perlawanan, Kelantan berada dua tangga tercorot dalam liga dengan mengumpul lapan mata selepas mencatatkan dua kemenangan dan dua seri.
Amril Aiman mendakwa langkah pengurangan bajet persatuan serta melepaskan pemain senior pada skala besar oleh jurulatih baharu dari Syria, Fajr Ibrahim, telah melemahkan pasukan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, KAFA masih belum terlambat untuk melakukan sesuatu demi mengelak pasukan itu tersingkir daripada Liga Super musim depan dan layak ke kempen Piala Malaysia tahun ini. – BERNAMA