SHAH ALAM – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) hari ini mendesak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan mengapa berlakunya pengurangan yang begitu ketara dalam jumlah pengambilan penjawat awam dalam kalangan kaum India di negeri itu.
Presidennya Ramesh Rao mendakwa berdasarkan statistik diterimanya, jumlah penjawat awam kaum India dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu adalah 1,320 orang pada 2009, namun jumlahnya menurun sehingga 284 orang sahaja pada tahun lepas.
“Kalau tahun lepas hanya ada 284 orang sahaja, bagaimana langkah atau kemudahan kerajaan negeri Selangor untuk rakyat kaum India boleh diuruskan dengan baik.
“Adakah ini permainan halus PKR atas arahan DAP untuk menyingkirkan terus penjawat awam berbangsa India dalam kerajaan negeri Selangor?,” katanya dalam kenyataan hari ini. PMSP ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Ramesh mendakwa keadaan itu menyebabkan kaum India di Selangor dipinggirkan ekoran kekurangan penjawat awam kaum India yang boleh menguruskan program atau bantuan untuk kaum berkenaan. – BERNAMA