MINAT yang mendalam terhadap sukan berbasikal membuatkan dua individu ini mengayuh sejauh 200 kilometer untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hari ini.
Menetap di Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor, Suhaimi Mat Salleh mengambil keputusan untuk melakukan kayuhan epik itu untuk pulang ke kampung halamannya di Baling, Kedah.
Justeru, jejaka berusia 39 tahun itu merancang untuk menjalankan ‘kerja gila’ itu bersama rakan senegerinya Muhammad Zainurin Akmal Ahmad Zaini, yang turut balik mengundi di tempat sama.
Suhaimi memulakan perjalanannya dari ibu kota empat hari sebelum PRU14 dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Ipoh, Perak untuk bertemu rakannya itu sebelum memulakan kayuhan itu.
Dalam masa sama, Suhaimi berkata mereka dapat melawat beberapa tempat menarik sepanjang perjalanan yang melalui negeri Perak dan Pulau Pinang itu.
“Saya pergi ke Ipoh menggunakan ETS dan bertemu Zainurin di stesen kereta api sebelum meneruskan perjalanan ke Taiping yang jaraknya merangkumi 60 kilometer.
“Kami tinggal di Taiping selama sehari dan sempat lawat beberapa tempat menarik dan bersejarah sebelum meneruskan perjalanan ke Parit Buntar keesokan hari,” kata Suhaimi dipetik BH Online.
Menceritakan pengalaman mengayuh basikal pulang ke negeri sendiri, bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia dan Zainurin perlu menempuh pelbagai cabaran sebelum akhirnya tiba di Baling pada Ahad lalu.
“Pelbagai cabaran kami tempuhi sepanjang perjalanan, namun syukur kami berjaya dapat mengatasi rintangan dan tiba di Kedah pada Ahad.
“Kami merancang untuk pulang semula ke Kuala Lumpur esok dengan menaiki kereta api,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut, siang tadi.
Dalam pada itu, Suhaimi yang dikenali dengan nama Kalai oleh rakan-rakannya memberitahu bahawa pilihan raya kali ini merupakan kali ketiga dia menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.
Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi tujuan tersebut dengan mengayuh basikal.
“Saya percaya, jika ada kemahuan di situ ada jalan untuk kita melakukan sesuatu yang berada di luar zon selesa,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ
*Video sekadar hiasan…