KERAJAAN baharu Pakatan Harapan (PH) mesti membentangkan jadual waktu masa yang dijangka untuk melaksanakan semua janji yang ditaburkan selama ini.
Banyak janji ini ada yang sekadar disebut-sebut, seperti turun harga minyak sehari selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14, penghapusan tol segera dan pendidikan percuma.
Kerajaan PH juga mesti membentangkan secara terperinci apa yang hendak dilaksanakan, kerana banyak janji yang disebut tanpa penjelasan terperinci yang praktikal.
Akhirnya, selepas hampir dua minggu menang pilihan raya, janji yang paling utama yakni menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan saja belum dilaksana, tetapi masih diperdebatkan sama ada wajar atau tidak cukai ini dimansuhkan.
Sistem yang diterima di seluruh dunia ini bukan sahaja efisyen, tetapi juga telah berjaya menambah pendapatan negara mencecah RM40 bilion setahun.
Menuju negara berpendapatan tinggi, cukai inilah yang membolehkan rakyat menyumbang lebih banyak pendapatan kepada negara.
Maka kerajaan perlu memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat yang ramai sudah celik ekonomi dan memahami keperluan cukai ini.
Penjelasan juga perlu kerana jangkaan yang diberikan kepada rakyat sebelum ini ialah GST akan dimansuh segera dan harga barang akan segera turun, kerana GST yang menyebabkan kenaikan harga sudah tidak ada.
Setakat ini, belum ada penjelasan meyakinkan dari kerajaan tentang di mana ganti pendapatan RM40 bilion itu secara pasti.
Sebelum ini dikatakan cara memansuhkan GST akan mengambil masa lebih lama daripada 100 hari kerana sistem ini sudah dibina dalam perniagaan dan pentadbiran kerajaan.
Ini mungkin penjelasan yang paling tepat, kerana tidak munasabah untuk satu sistem cukai yang telah mengambil masa lebih setahun untuk disediakan infrastruktur pelaksanaannya tiba-tiba dihapuskan dalam sehari.
Ini baru isu melibatkan GST. Bagaimana pula janji-janji seperti simpanan persaraan untuk suri rumah, subsidi petrol, penghapusan hutang peneroka Felda dan sebagainya?
Semua ini memerlukan perancangan yang rapi yang dijangka akan memerlukan lebih daripada 100 hari untuk benar-benar terlaksana.
Janji-janji ini semua melibatkan kos yang besar, daripada kajian pelaksanaan, mesyuarat antara kementerian, agensi, pihak berkepentingan dan sebagainya yang kompleks.
Apa yang paling aneh sekarang ini, pemansuhan GST ini belum lagi dibincangkan dengan mendalam oleh pakar-pakar dan pihak terbabit seperti Jabatan Kastam.
Begitu juga dengan pemansuhan tol, yang sebenarnya bukan satu penjelasan yang terperinci yang boleh difahami.
Tol dikutip oleh konsesi yang juga menjalankan penyeliaan dan baik pulih yang memerlukan kos yang besar jumlahnya. Belanja ini datang dari kutipan tol.
Inilah sebab selepas menang dan menubuhkan kerajaan, apa yang dikemukakan ialah penstrukturan semula dan bukan menghapuskan seperti disebut dalam janji populis mereka.
Sebenarnya, dua janji hapus GST dan hapus tol ini sudah jauh berbeza dengan janji mereka sebelum pilihan raya.
Janji-janji pilihan raya berbentuk simplistik dan populis, tetapi bila sudah melihat dari dalam kerajaan, skrip lain pula yang mereka bawakan.
Di peringkat tentera siber, dikiaskan dengan “Takkan baru kahwin terus dapat anak” untuk memberi alasan kenapa tidak segera laksanakan janji dalam manifesto.
Kerajaan yang sudah dibentuk ini sekarang bertanggungjawab menjelaskan semula manifesto mereka, dan wajib mengambil langkah berani menangguh atau membatalkan sebarang janji dalam manifesto yang tidak munasabah. – Mynewshub.cc