PETALING JAYA – Kerajaan akan mengkaji cadangan memansuhkan Biro Tatanegara (BTN) yang dikemukakan beberapa pihak sebelum ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata ini kerana kerajaan mendapati BTN dan beberapa organisasi lain ditubuhkan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN).
“Banyak badan-badan kita dapati ditubuhkan bukan untuk kerajaan tapi untuk BN tetapi menggunakan wang kerajaan untuk membayar gaji,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.
Semalam, Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mencadangkan supaya BTN ditutup kerana berpendapat ia ‘sangat memihak dan bersifat toksik terhadap perpaduan sejati negara’ dan masih beroperasi dalam ‘kerangka Perang Dingin’ sedangkan dunia sudah berubah.
Cadangan itu turut disokong Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan berkata biro itu dilihat sudah lari daripada landasan sebenar penubuhannya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai beberapa tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang dikemukakan hari ini, Dr Mahathir secara ringkas berkata: “Kita akan pertimbangkan.”
Dilapor, Ketua Umum Hindraf, P. Uthayakumar hari ini mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), antaranya, menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah untuk memperbaiki taraf hidup mereka, termasuk dengan pemberian tanah rancangan seperti Felda serta peluang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Memorandum tuntutan tersebut diserahkan oleh Uthayakumar kepada Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd Yusof di Menara Ilham, di sini hari ini. – BERNAMA