SELEPAS penat bekerja sepanjang tahun, kini pelawak Shuib Sepahtu ambil keputusan untuk rehat seketika sepanjang bulan Ramadan bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga tercinta.
Bagi Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, bulan Ramadan merupakan waktu yang sangat sesuai buat dirinya untuk merapatkan silaturrahim bersama dengan keluarga.
“Saya rasa, dalam masa setahun itu 11 bulan kita dah bekerja. Jadi bulan Ramadan ini sangat sesuai untuk kita berehat.
“Memang saya sengaja memilih untuk berehat sahaja sepanjang sebulan ini dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya dan Sarah adalah peminat bazar. Bulan puasa ini memang kami akan selalu pergi walaupun dia masak juadah berbuka,” kata Shuib kepada pihak mStar Online sebelum berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah.
Dijangkakan Shuib dan isteri, Siti Sarah Raissuddin bakal pulang ke tanah air pada Ahad ini.
Selepas pulang ke tanah air, Shuib memaklumkan bahawa dia akan memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap perniagaan produk madu yang diusahakan.
“Balik sahaja menunaikan umrah, saya nak beri tumpuan 90 peratus pada perniagaan produk madu.
“Lagi 10 peratus saya akan fokus pada industri seni. Tapi buat masa sekarang ini memang saya nak utamakan perniagaan terlebih dahulu,” ujarnya lagi.
Bagi Shuib, wang bukanlah segala-galanya bagi dia dan keluarga tetapi apa yang penting ialah kenikmatan berkongsi rezeki bersama orang lain.
Hampir lima bulan menjalankan perniagaan madu, Shuib dan Sarah akui bahawa mereka berasa sangat seronok dengan pencapaian yang telah diperoleh.
“Saya rasa seronok sebab dapat kongsi rezeki dengan orang lain. Bukan sebab saya dapat duit. Selain itu dapat mewujudkan ramai stokis dapat pendapatan yang banyak setiap bulan,” tambahnya lagi.
Sebelum memulakan perniagaan menjual madu, Shuib merupakan salah seorang penyampai radio Sinar FM tetapi sekitar penghujung November lalu, dia memaklumkan untuk tidak lagi bertugas di staten radio berkenaan kerana mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaan. –Â MYNEWSHUB.CC/AH