SHAH ALAM – Kertas siasatan kes seorang pelajar tahfiz di sini yang dipukul oleh empat pelajar senior sekolah yang sama akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.
Beliau berkata keempat-empat tertuduh di bawah umur itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah direkodkan keterangan mereka pada Selasa lepas.
“Semua tertuduh dipanggil untuk siasatan pada kira-kira pukul 8 malam Selasa lepas, selepas kami menerima laporan daripada ibu mangsa, setelah semua percakapan dan kenyataan direkodkan, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa didakwa telah dibelasah oleh tertuduh selepas dituduh mencuri barangan mereka.
Pelajar itu kemudian melaporkan perkara berkenaan kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. – BERNAMA