PORT DICKSON – Mahkamah Majistret Port Dickson menetapkan kes seorang anggota tentera yang didakwa membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9, pada Januari lepas, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban.
Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendapat permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini.
Bagaimanapun, tarikh bicara belum ditetapkan lagi.
Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, yang berpakaian lokap berwarna jingga mengangguk faham di kandang tertuduh setelah permohonan pemindahan kes oleh Ashwini dipersetujui Siti Khairiah.
Mohammad Abdullah didakwa 12 Februari lalu kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah di Taman Vista Jaya, Lukut, dekat sini, antara 8.30 malam hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.
Media sebelum ini melaporkan Nur Aina Nabihah meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandung.
Keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada buah pinggang selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk. – BERNAMA