TELUK INTAN – Sebagaimana tingginya Menara Condong Teluk Intan, tinggi lagi kesetiaan penduduk di kawasan ini terhadap anak jati kampung mereka, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Rata-rata mereka yang ditemui hanya mampu berterima kasih atas pelbagai pembaharuan yang dibawa oleh wakil rakyat itu ke Teluk Intan.
Zainuddin Arifin, 64, dari Kampung Changkat Jong di sini berkata Mah tidak ‘hilang daripada pandangan’ masyarakat biarpun tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
“Bagi saya beliau memahami rakyat dan tidak meminggirkan golongan yang memerlukan. Kita perlukan calon yang buat kerja dan lebih memudahkan urusan kami ialah Mah merupakan anak tempatan.
“Kita suka calon ini (Mah), yang lain (individu) mungkin tak nampak tapi di kampung saya sendiri, beliau tunaikan janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 2014. Jalan kampung dan sistem perparitan dibaiki dan sebuah surau baharu turut dibina,” katanya kepada Bernama.
Mah yang juga Presiden Gerakan turut disifatkan sebagai seorang yang mesra sosial media apabila beliau mengambil pendekatan mengemas kini setiap catatan dalam laman Facebook beliau ‘Mah Siew Keong’.
Mengakui pendekatan itu lebih dekat dengan netizen, pekerja swasta di ibu negara M. Chandramugilan, 24, berkata usaha tersebut membolehkan anak muda sepertinya mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Teluk Intan.
“Beliau sangat mesra dengan rakyat setiap masa. Saya percaya penduduk tempatan di sini tahu kebaikan yang beliau berikan kepada warga Teluk Intan,” katanya.
Pengurus pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Iskandar berkata hanya calon tempatan yang mampu mencurah bakti kepada kawasan yang ditandingi.
“Mereka akan ada rasa ‘patriotik’ atau setia kerana mahu berkhidmat di tanah kelahiran. Dulu pernah dua penggal di bawah pembangkang, tapi amat kurang pembangunan. Kita harus tolak calon dari luar yang hanya tahu menghasut dan memutar belit fakta,” katanya.
Kesetiaan Mah terhadap Teluk Intan terbukti biarpun tewas pada PRU 2008 serta PRU 2013, namun beliau membuat kemunculan semula pada PRK 2014 dan menang dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
Pada PRU14, Mah akan berdepan saingan tiga penjuru melibatkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang bertanding menggunakan nama serta logo PKR serta seorang calon PAS, Ahmad Ramadzan Ahmad Daud. – BERNAMA