PASIR GUDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selesai mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sini, sebentar tadi.
Beliau turut diiringi anaknya, Akmal Saufi Mohamed Khaled, 31, yang turut mengundi di PDM sama.
Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, tiba di lokasi PDM Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, di sini kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
“Saya yakin rakyat boleh memilih dengan baik dan BN boleh menang, saya harap ramai akan keluar mengundi tapi kita masih pada peringkat awal, cuma saya percaya kempen sudah berlaku begitu panjang lebih-lebih lagi bagi pihak pembangkang.
“Jadi, saya percaya ramai yang akan keluar undi,” katanya pada sidang media selepas selesai mengundi di saluran dua PDM SK Taman Rinting 1, di sini, sebentar tadi.
PRU kali ini menyaksikan Mohamed Khaled sebagai satu-satunya calon BN Johor yang bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Pasir Gudang (P159) dan Dun Permas (N43). – BH ONLINE