PUTRAJAYA – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, adalah figura yang sudah sedia dikenali di Putrajaya sebagai wakil rakyat yang tidak melakukan kempen untuk menyantuni pengundi secara bermusim tetapi sepanjang masa.
Susuk ‘Ketua Kampung, Ku Nan’ sudah biasa dilihat pada program-program bersama penduduk di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini selain menghadiri majlis rasmi kerajaan memandangkan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Malah kehadiran beliau secara bersendirian menunaikan solat berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid di sekitar Putrajaya tidaklah sesuatu yang asing kepada masyarakat di sini kerana sikap beliau yang sentiasa mahu mendekati dan mendengar denyut nadi rakyat secara santai.
Tengku Adnan berkata memang menjadi kebiasaan baginya bertemu rakyat setiap minggu sejak 14 tahun lalu bagi mendengar masalah penduduk dan sentiasa terbuka menerima teguran mereka.
“Di Putrajaya ini, saya akan pergi solat Subuh di setiap surau. Ada 62 surau di sini tunggu la 62 hari saya rotate setiap surau,” katanya ketika majlis pecah tanah kompleks Masjid Ar-Rahman dan sekolah rendah agama di Presint 16 di sini pada Ahad.
Azlimi Abdullah, 36, yang tinggal di Putrajaya sejak 2003 berkata pemimpin seperti Tengku Adnan atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Nan sukar dicari ganti memandangkan hubungan baik beliau dengan masyarakat sejak dahulu lagi.
“Saya biasa bertemu Ku Nan di mana-mana majlis dan program kemasyarakatan, malah kalau dijemput kenduri pun beliau pasti akan datang kalau tiada halangan,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di Putrajaya.
N.Kumari, 32, berkata beliau menyukai sifat kepimpinan Tengku Adnan yang berjiwa rakyat dan sentiasa sedia membantu penduduk di sini tidak kira masa dan tempat.
“Saya harap Tengku Adnan akan menang lagi kali ini sebab saya memang mengagumi beliau sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat,” katanya yang akan mengundi buat pertama kali di Putrajaya sejak tinggal di sini pada 2011, untuk Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei.
Untuk PRU14 kali ini, Tengku Adnan bersaing dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR-PPBM, Datuk Dr. Samsu Adabi.
Untuk rekod, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN ialah Anggota Parlimen Putrajaya selama tiga penggal berturut-turut sejak 2004.
Pada PRU13, Tengku Adnan menewaskan Datuk Husam Musa yang ketika itu mewakili PAS dengan majoriti 5,541 undi.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon pada 28 April lalu, Tengku Adnan menyerahkan kepada pengundi untuk mereka memilih siapa yang selayaknya menjadi wakil rakyat mereka di Putrajaya.
“Saya berkeyakinan mereka kenal saya tambahan pula saya memang orang tempatan di Putrajaya, dan warga Putrajaya pastinya akan mengundi calon tempatan berbanding calon dari kawasan luar yang tidak tahu dan tidak menjaga Putrajaya ini,” katanya.
Sebagaimana tagline popular beliau, “Don’t Worry, Be Happy, You Got Me!” ia tanda kesediaan ‘ketua kampung’ itu untuk memberi khidmat kepada warga Putrajaya.
Melihat gerak kerja Tengku Adnan pada kempen PRU14, beliau lebih senang untuk melakukan program kecil-kecilan dan lawatan ke kawasan penduduk secara di bawah radar pihak media kecuali pada acara-acara rasmi.
Tengku Adnan juga tidak memerlukan pentas dengan kehadiran ribuan pengunjung luar untuk memeriahkan ceramah politik. – BERNAMA