PEKAN – “Kome (saya) nak sehari je… iaitu 9 Mei,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun.
Katanya tempoh ‘sehari itu’ amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan BN untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk negara dan rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi peneroka disebabkan Felda sangat sinonim dengan perdana menteri kerana ia merupakan legasi ayahandanya Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein.
“Apa sahaja yang diumumkan perdana menteri untuk peneroka sudah selesai diberikan. Kita bersyukur kerana kita berada di Felda, syukur dengan usaha dan bakti Felda serta kerajaan telah mengubah landskap kehidupan kita pada hari ini.
“Felda berjasa kepada kita… jadi kome nak ‘sehari sahaja’ untuk balas jasa mereka,” katanya sambil disambut tepukan kira-kira 5,000 peneroka semasa berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Felda Gugusan Chini di Dataran Tenun Chini di sini hari ini, yang dihadiri Najib dan Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali.
Abu Bakar yang juga pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang seterusnya mengajak masyarakat peneroka menggunakan tempoh kempen yang berbaki tiga hari untuk melipatgandakan usaha bagi merealisasikan hasrat ‘menghadiahkan’ kemenangan sebanyak 40,000 undi majoriti kepada Najib, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan.
“Tidak ada parti lain yang sehebat BN … yang datang ke sini (pembangkang) hanya nak bersama kita selama 10 hari sahaja (semasa kempen) dan selepas ini, mereka akan pulang.
“Felda sudah ok, jadi mengapa mereka hendak bercerita tentang Felda? Mereka bukan orang Felda pun,” katanya.
Abu Bakar juga meminta masyarakat peneroka untuk tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan dakyah pembangkang di media sosial kerana setakat ini beliau dimaklumkan tiada satu pun ceramah pihak pembangkang diadakan di Chini.
“Apa juga informasi yang diterima perlu disemak. Jangan percaya bulat-bulat kerana perdana menteri dan kerajaan telah melaksanakan semua tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya,” katanya. – BERNAMA