KUALA LUMPUR – Seorang pesara di sebuah jabatan kerajaan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berkongsi komunikasi palsu melalui Facebook berhubung dakwaan kontena berisi daging babi bercampur daging kambing dibawa masuk dari Sepanyol dan Brazil, tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizan Ahmad, 64, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook miliknya dengan profil ‘Azizan Ahmad’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 6.23 petang 20 Julai 2017.
Pautan itu kemudian telah dibaca di restoran Starbucks AEON Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju di sini pada pukul 10 pagi, 1 Ogos 2017.
Mahkamah turut memerintahkan OKS yang mempunyai lima anak dan empat cucu menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda. Dia membayar denda.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menyesal melakukan perbuatan tersebut dan menanggung ibu yang uzur serta dua isterinya.
“Saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Semasa membuat posting itu saya tidak tahu ia adalah satu kesalahan. Saya memohon maaf dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang sama… saya tiada niat untuk menyakitkan hati sesiapa,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Norhani Mohamad Adzhar dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon hukuman denda RM2,000 terhadap OKS.
Mengikut fakta kes, pada 1 Ogos tahun lalu, seorang lelaki bernama Mohd Nazri Abdul Wahid telah membaca status yang dimuat naik oleh OKS dan hasil siasatan mendapati akaun Facebook itu milik OKS dan pengadu kemudian membuat laporan kepada MCMC untuk tindakan lanjut.
Keterangan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Datuk Mokhtaruddin Husain mengesahkan bahawa ‘posting’ yang tular sepertimana yang dimuat naik oleh OKS adalah palsu dan satu laporan polis dibuat terhadap berita palsu itu. – BERNAMA