ALAHAI… Cakap beliau memang lantang berdegar-degar kutuk kerajaan, namun akhirnya kantoi apabila akhirnya terpaksa pula membuang undi di sebuah sekolah rendah di Alor Setar, Kedah.
Begitulah yang dilakukan oleh calon kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), sebuah organisasi politik tidak diiktiraf pun pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Lebih lucu beliau terpaksa bertanding atas tiket PKR yang pernah dikutuknya suatu ketika dahulu terutama Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digelarnya sebagai peliwat dan tidak layak menjadi pemimpin negara!
Bakal konon menjadi perdana menteri paling tua di dunia mengatasi rekod diktator Zimbabwe, Robert Mugabe, Mahathir, 92, dilaporkan hanya mengundi di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Alor Setar pada pukul 10.55 pagi tadi.
Beliau tiba bersama-sama dengan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan mengundi kira-kira jam 11 pagi di saluran 1 yang diketahui memang khusus untuk golongan pengundi amat tua atau berusia agak lanjut.
Portal Astro Awani melaporkan mereka berdua bergegas meninggalkan pusat pengundian lima minit selepas itu dan difahamkan kemudian meninjau proses pengundian di Jerlun dan Langkawi sebelum balik ke Kuala Lumpur.
Ini berbeza dengan calon Barisan Nasional dan penyandang kerusi tersebut, Datuk Nawawi Ahmad yang setia mengundi di Maktab Mahmud cawangan Langkawi di Kuah bersama-sama isterinya, Datin Sabariah Hassan.
Ketidakhadiran Mahathir membuang undi di Langkawi seolah-olah menunjukkan beliau agak tidak serius mewakili penduduk di pulau peranginan itu apatah lagi memberi khidmat kepada rakyat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA