KUANTAN – Kontraktraktor yang membina blok baharu tiga tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih di Jalan Air Putih di sini, diminta bertindak segera bagi mengatasi beberapa masalah di bangunan itu untuk mengelak kejadian yang boleh mengancam keselamatan pelajar.
Anggota Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata berdasarkan pemerhatian beliau semasa melawat sekolah itu, terdapat lima masalah utama di bangunan yang baru sahaja siap tersebut.
“Bangunan baharu yang bernilai RM10 juta ini sepatutnya diserahkan kepada pihak sekolah pada Jun tahun lepas namun masih belum diserahkan oleh pihak kontraktor kerana beberapa masalah tertentu walaupun pembinaanya menepati spesifikasi yang ditetapkan.
“Antaranya kening tingkap yang tidak sesuai dipasang di kawasan sekolah, penutup longkang, pelampung tangki air dan papan tanda yang masih belum dipasang serta permukaan padang yang tidak rata,” katanya semasa mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini hari ini.
Turut serta Anggota Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang, pihak sekolah dan konsultan projek.
Saifuddin berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat pemantau bangunan Kementerian Pendidikan pada Khamis ini untuk tindakan lanjut. – BERNAMA