KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merekodkan sebanyak 269 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan bernilai RM179,359.55 dan kompaun RM40,550 setakat 24 Mei lalu.
Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata kesalahan itu dikesan semasa anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di 16,143 premis iaitu 10,836 premis di bandar dan 5,307 premis di kawasan luar bandar di seluruh negeri itu.
Beliau berkata, daripada 269 kes, Cawangan KPDNKK Terengganu merekodkan sebanyak 93 kes di Kuala Terengganu 69 kes di Dungun, Besut (65 kes) dan Kemaman 42 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 127 kes direkodkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan rampasan bernilai RM2,544.05 dan kompaun sebanyak RM17,300,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selain itu, sebanyak 75 kes direkodkan mengikut kesalahan Akta Timbang dan Sukat 1972 membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1,820 dan kompaun RM13,750.
Sebanyak 39 kes lagi adalah kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 melibatkan rampasan bernilai RM66,495.50 dan kompaun sebanyak RM6,600 manakala 17 kes direkodkan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan nilai rampasan RM2,900 dan denda sebanyak RM4,600.
Saharuddin berkata KPDNKK Terengganu turut merekodkan 10 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan nilai rampasan RM108,500 dan berjaya mengesan satu kesalahan di bawah Akta Sewa Beli 1967.
Beliau berkata setiap hari pihaknya menerusi pegawai penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga melakukan pemeriksaan di premis perniagaan dan berpuas hati dengan pematuhan harga oleh peniaga di negeri itu. – BERNAMA