TIGA tahun mendirikan rumah tangga, kini pelakon Lana Nodin telah disahkan hamil anak kedua yang kandungannya sudah mencecah tiga bulan.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin dan suami, Mohd Daud McKienzie kini melahirkan rasa kesyukuran mereka apabila disahkan bakal menimang cahaya mata kedua pada akhir tahun ini.
“Saya dapat tahu diri ini hamil sejak bulan pertama lagi. Cuma saya belum bersedia hendak mengumumkannya lagi.
“Saya masih dalam fasa awal trimester… Bimbang kalau jadi apa-apa,” katanya ketika ditemui oleh pihak BH Online.
Hal ini disebabkan sebelum ini, Lana langsung tidak pernah memaklumkan tentang kandungannya itu di mana-mana media sosial.
Pada kandungan kali kedua ini, Lana mengharapkan aagar dia dapat menimang cahaya mata lelaki disebabkan anak pertamanya ialah perempuan dan diberi nama Gia Quinn Mckienzie.
“Saya harap kali ini dapat anak lelaki… Barulah jadi sepasang. Mana tahu dapat anak berwajah macam suami pula.
“Insya-Allah kalau tiada aral melintang saya akan melahirkan anak kedua ini pada Disember depan,” tambahnya lagi,
Dalam masa yang sama, pelakon filem Chow Kit itu juga memaklumkan bahawa dia dan suami sememangnya mengamalkan teknik perancangan keluarga bagi usaha mereka mendapatkan cahaya mata kedua itu.
“Selepas usia Gia lebih dua tahun, saya dan suami percaya ini adalah masa terbaik untuk dia mendapat adik. Malah, Gia seolah memahami keadaan ibunya yang sedang hamil.
“Bukan saya saja yang dia peluk erat, orang lain pun sama. Ketika mengandungkan Gia, alahan waktu pagi tidak ketara. Kali ini, lain macam teruknya.
“Suami saya juga terpalit sama, mengidam mangga masam setiap hari. Lagak suami kali ini seolah dia yang hendak melahirkan anak kami… Dia yang muntah-muntah dan loya teruk,” ujarnya.
Seperti kaum ibu yang lain, Lana juga lebih selesa untuk berbuka di rumah seandainya dia tidak mempunyai apa-apa komitmen kerja atau urusan perniagaan.
Disebabkan kini sedang berbadan dua, pelakon berusis 39 tahun itu kurang memasuki ke dapur walaupun sebelum ini, dia begitu aktif ‘berperang’ di dapur selain kerap berkongsi video masakan di Instagram.
Berbeza dengan kandungannya yang pertama, ketika dulu Lana sangat gemar ke dapur tetapi kali ini dia terpaksa akur bahawa apa yang terjadi sebaliknya semasa mengandungkan Gia.
Sebagai suami yang tahu erti penat lelah si isteri yang sedang hamil, difahamkan kini Mohd Daud pula sering masak di dapur bagi meringankan beban isterinya itu.
“Apa yang lucu, semuanya terbalik sekarang… Suami pula yang rajin ke dapur. Suami yang memasak juadah berbuka.
“Lagipun, dia makan seorang, jadi dia tahu apa yang mahu dimakan. Sejak mengandung, saya kurang berselera hendak makan,” katanya lagi.
Sebagai persiapan beraya, Lana akui bahawa dia tidak berasa begitu teruja untuk membuat persiapan awal bagi Aidilfitri kerana masih terlalu awal lagi.
Malah, dia lebih memilih untuk melakukan konsep ‘dua dalam satu’ iaitu sambil beraya sambil membeli barangan keperluan anak keduanya.
Bagaimanapun, Lana sekeluarga bakal pulang ke Amerika Syarikat bersama suaminya dan jika berkesempatan, dia akan beraya di tanah air selama dua hari sebelum terbang ke sana. –Â MYNEWSHUB.CC/AH