SEPANGGAR – Lebih 300 anggota dan penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kolam Air di sini, hari ini keluar daripada parti itu dan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN).
Jurucakap kumpulan itu, Martin Malubin yang juga anggota Jawatankuasa Warisan Bahagian Sepanggar, berkata mereka bertindak meninggalkan Warisan kerana kepimpinan parti itu menamakan calon bukan anak jati Sepanggar Datuk Azis Jamman di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Sebenarnya, kami ada berbeza pendapat (mengenai pemilihan calon). Sudah hampir dua tahun kami bangunkan Warisan Sepanggar. Kami sudah ada ketua bahagian, kami sudah ada jawatankuasa bahagian. Tetapi, bagi pemilihan calon bukan ketua bahagian kami.
“Jadi (calon) bukan anak Sepanggar. Kami semua kecewa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau akan berkempen membantu calon BN Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bagi memastikan kemenangannya pada PRU 9 Mei ini.
Mengenai slogan ‘Ubah’ yang sering dilaung-laungkan Warisan, yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Martin berkata tiada apa lagi yang perlu diubah kerana calon BN kali ini sudah cukup baik serta berkelayakan seperti yang diingini pengundi Sepanggar.
Ditanya mengenai Abdul Rahman yang bukannya dari Sepanggar, Martin berkata calon BN itu berasal dari Tuaran yang terletak bersebelahan dengan Sepanggar berbanding Azis yang berasal dari pantai timur Sabah.
“Rumah Abdul Rahman pun dalam kawasan Parlimen Sepanggar, jadi, amat mudah bagi rakyat untuk berurusan dengan beliau kelak,” katanya.
Mengenai haluan politik selepas ini, Martin berkata: “Kami belum menentukan parti mana yang akan kami sertai. Kami akan buat keputusan selepas pilihan raya nanti.” – BERNAMA