JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika berlayar ke Pulau Pisang semalam, ditemukan mati lemas pagi ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata mayat Abdul Rashid Padang, 58, ditemukan oleh nelayan tempatan di 0.5 batu nautika dari Pantai Pontian Kecil, kira-kira 10 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Pontian Besar untuk diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diaktifkan sejak 10.30 pagi semalam melibatkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dengan dibantu beberapa aset dan nelayan tempatan.
Kawasan pencarian tertumpu di tempat mangsa dilaporkan hilang iaitu kira-kira 3.2 batu nautika timur Pulau Kukup dengan keluasan pencarian lebih kurang 33 batu nautika persegi.
Abdul Rashid yang bekerja sendiri dilaporkan berlayar ke pulau itu untuk mencari buah-buahan. – BERNAMA