KAPIT – Seorang majikan cedera ditembak dengan senapang patah oleh seorang pekerjanya apabila beliau enggan mencampuri masalah peribadi pekerjanya itu.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu Bernama mangsa ditembak dalam jarak lebih kurang lapan meter.
Beliau berkata, sebelum itu suspek berusia dalam lingkungan 34 tahun telah menahan majikannya itu yang berusia 33 tahun di di simpang empat Jalan Sibau pada 1.30 pagi dan meminta mangsa membantu menyelesaikan masalah suspek dengan teman wanitanya.
“Mangsa tidak mahu membantu kerana itu merupakan masalah peribadi dan terus beredar dengan kenderaannya. Berikutan itu suspek berasa marah dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta mangsa,” kata beliau.
Lelaki itu yang mengalami kecederaan di bahu, cuping telinga dan tangan bahagian kanan memandu terus ke Hospital Kapit dalam keadaan kesakitan untuk mendapatkan rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil.
Menurut DSP Freddy, satu operasi mengesan suspek telah digerakkan sebaik sahaja dimaklumkan pihak Hospital Kapit mengenai kejadian berkenaan sekitar pukul 2 pagi.
Suspek berjaya dikesan bersembunyi di rumah rakannya di Taman Exora dan terus diberkas, kira-kira sejam kemudian.
“Dalam serbuan itu polis menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri itu dan kerongsong peluru disyaki digunakan oleh suspek yang disembunyikan di bawah sofa di ruang tamu rumah tersebut. Suspek telah ditahan di Balai Polis Kapit untuk siasatan lanjut”,jelasnya sambil menambah suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan baru keluar penjara tahun lalu.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu memiliki senjatapi bagi tujuan melakukan jenayah. – BERNAMA