HAMPIR 10 tahun ‘menghilang’ daripada radar pentas seni kerana mengambil haluan masing-masing, kini kumpulan Ruffedge kembali bersatu atas satu pentas yang sama.
Kemunculan mereka pada majlis persandingan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura baru-baru ini telah mengubat kerinduan peminat kepada kumpulan R&B itu.
“Selepas membuat persembahan pada majlis persandingan Fattah dan Fazura, Februari lalu, kami menerima banyak pertanyaan, bila Ruffedge akan menjayakan konsert? Ini adalah jawapan kepada semua pertanyaan itu,” kata Sein dipetik daripada portal BH Online.
Pada 4 Ogos hadapan, Ruffedge bakal mengadakan konsert sulung mereka digelar Ruffedge: 20th Anniversary Concert di KL Live.
Menurut Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, konsert tersebut bertujuan untuk meraikan ulang tahun Ruffedge serta sebagai pengubat rindu buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka.
“Konsert ini sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa berdoa untuk melihat kami kembali bergabung di pentas. Ketika aktif dahulu, kami tidak berpeluang membuat konsert dan ini masa yang tepat untuk merealisasikannya,” tambah Sein lagi.
Ruffedge dianggotai oleh lima orang ahli kumpulan iaitu Cat Farish, Azan Addin, Mode Abdullah, Zain Hamid dan termasuk Sein sendiri.
Sekitar tahun 1997, kumpulan Ruffedge telah ditubuhkan serta mula bergerak aktif setahun selepas itu.
Bagaimanapun, pada tahun 2008 lalu, mereka mengambil keputusan untuk berpecah bagi memberi fokus kepada kerjaya seni masing-masing.
“Kami akan menghiburkan peminat dengan lebih 10 lagu popular, selain pilihan peribadi setiap ahli kumpulan Ruffedge dalam konsert selama dua jam itu,” ujar Azan.
Selain itu antara lagu yang bakal disampaikan pada konsert tersebut ialah Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta Da Bomb dan banyak lagi.
Pastinya mereka mempunyai lagu baharu yang bakal dinyanyiakn di konsert berkenaan iaitu Seperti Mereka hasil ciptaan Azan sendiri.
Tiket anjuran MRS Production itu akan dijual pada Jumaat ini bermula dengan harga RM125 sehingga RM233 menerusi laman sesawang www.ticketpro.com.my. – MYNEWSHUB.CC/AH