BENTONG – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini meluahkan rasa kesal dengan kejadian seorang penyokong Barisan Nasional (BN) cedera dipercayai akibat ditolak jatuh dari pentas oleh seorang penyokong pembangkang di Johor semalam.
Sambil mengingatkan penyokong BN agar tidak meniru atau membalas perbuatan ganas itu, Liow berkata satu laporan polis akan dibuat oleh MCA agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pelaku.
“Mangsa yang ditumbuk dan dijatuhkan ke lantai itu perlu dapat keadilannya,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Keluarga Felda Mempaga 3, di sini.
Beliau mengulas kejadian di Ayer Hitam semalam apabila seorang warga emas berusia 74 tahun patah tiga tulang rusuk selepas ditolak dari pentas oleh seorang individu yang dipercayai penyokong pembangkang.
Klip video insiden itu turut ditularkan menerusi media sosial.
Mengulas lanjut, Liow yang mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, berkata BN dan parti komponennya termasuk MCA tidak mengamalkan budaya samseng seperti yang dilakukan pembangkang.
“Tak perlu bergaduh…politik ini bertanding dengan membandingkan agenda politik masing-masing, apa agenda untuk majukan kawasan.
“Tak patut guna taktik kotor… Saya seru rakyat buat pertimbangan dan lihat bagaimana kita boleh pilih orang yang betul-betul bertanggungjawab untuk bangunkan kawsan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama Liow menggesa pihak berkuasa khususnya polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan sewajarnya agar insiden memalukan itu tidak berulang sepanjang tempoh berkempen PRU 14 ini.
Tempoh berkempen PRU14 masih berbaki lapan hari, tamat pada 12 tengah malam 9 Mei ini. – BERNAMA