SEMUA maklum, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah siasat dakwaan liar Tun Dr. Mahathir Mohamad konon pesawat peribadi yang beliau sepatutnya naik Jumaat lalu disabotaj.
Hasil keputusan rasmi siasatan pun semua orang sudah tahu apabila kes itu cuma isu teknikal kecil dan tidak ada sebarang tanda sabotaj. Malahan syarikat sewa jet mewah itu, VistaJet juga mengesahkan laporan siasatan CAAM.
Namun pembesar utama pakatan pembangkang itu terus dengan ‘drama sedih’ apabila tegar pertahankan dakwaan sabotaj konon untuk sekatnya ke Langkawi bagi hadiri penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) pada Sabtu lalu.
Kini isu itu masuk episod baharu apabila pihak polis pula akan buat siasatan terpercinci atas dakwaan itu. Siasatan bahkan akan dibuat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar atas dakwaan sengaja sebar berita palsu kepada awam.
Baca: Tiada Unsur Sabotaj Jet Mewah Mahathir – CAAM
Juga: Drama Simpati Mahathir Konon Jet Dirosakkan BN
Lagi: Jurutera Dedah Isu Tayar Jet Kempis Konon Sabotaj
Dan: Konon Disabotaj, VistaJet Sahkan Masalah Teknikal
Langkah ini dimaklumkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim kepada wartawan semalam. Katanya satu laporan polis berkaitan dakwaan berkenaan sebenarnya telah dibuat untuk kertas siasatan dibuka.
Akta Antiberita Tidak Benar itu menetapkan tertuduh yang disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya sekali.
“Kertas siasatan yang kita buka setakat hari ini untuk PRU di ibu negara adalah lapan kes termasuk satu mengikut Akta Antiberita Tidak Benar membabitkan Mahathir yang kata kapal terbang beliau disabotaj,” jelas Mazlan lagi.
Jika ini berlaku dan dibawa ke mahkamah oleh pihak pendakwa raya, Mahathir bakal menjadi individu berprrofil yang pertama didakwa di bawah akta baharu itu bagi kekang berita fitnah tular. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA