MEMANG aneh namun jangan pula putar belit cakap macam-macam. Ini kerana biasanya jarang proses mahkamah boleh berjalan sebegini segera selepas satu saman difailkan oleh plaintif.
Demi untuk beri keadilan…baru sahaja pada Isnin lalu Tian Chua memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana bertindak tolak pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu di ibu negara.
Insiden yang cukup memalukan pemimpin PKR tersebut berlaku semasa hari pencalonan pada Sabtu lalu, sehingga menjadi bahan jenaka netizen apabila parti itu tiada pelan kecemasan dengan mewakilkan orang lain sebagai calon.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Khamis sudah mengadakan prosiding kesnya.
Naib Presiden PKR itu memfailkan saman terhadap Pegawai Pengurusan Pilihan Raya (RO) kawasan itu, Anwar Mohd Zain dan SPR yang tolak pencalonannya susulan isu beliau pernah didenda di mahkamah sebanyak RM2,000.
Beliau antaranya memohon perisytiharan layak menjadi calon kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.
Hakim Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan telah menetapkan untuk buat keputusan pada pagi esok, Jumaat setelah mendengar pembentangan kes oleh peguam Tian Chua dan peguam pihak kerajaan yang mewakili SPR.
Peguam kerajaan, Amarjeet Singh namun berkata sepatutnya Tian Chua memfailkan petisyen pilihan raya mengenai kesnya selepas PRU ke-14 seperti ditetapkan oleh Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana jelasnya, cuma hakim Besar Malaya atau seorang hakim yang dilantiknya sahaja boleh mendengar petisyen pilihan raya dikemukakan.
Bagaimanapun Gurdial Singh yang mewakili Tian Chua berkata anak guamnya ingin mendapatkan pengisytiharan mengenai status dirinya dan bukanya mengenai isu pilihan raya sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA