SKUAD kebangsaan negara diundi bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam kumpulan A kejohanan Piala Suzuki AFF yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.
Keputusan undian yang diadakan pada sebuah majlis di Jakarta, Indonesia itu menyaksikan mereka sekali lagi mengelak berada dalam kumpulan maut bersama pasukan-pasukan hebat Asia Tenggara.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tidak perlu berhadapan dengan musuh tradisi, Indonesia dan Singapura serta pasukan handalan Asia Tenggara, Thailand dan juga Filipina.
Satu lagi negara yang akan beraksi di Kumpulan B adalah pemenang perlawanan playoff di antara Brunei dan Timor Leste.
Pesaing Malaysia dalam kumpulan A tentunya merupakan juara edisi 2008, Vietnam yang kini merupakan pasukan yang menduduki kedudukan tertinggi dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di rantau Asia Tenggara.
Myanmar juga akan memberikan saingan hebat buat pasukan negara di mana hanya dua pasukan teratas akan melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan tersebut.
Keputusan undian itu sebenarnya merupakan kumpulan yang hampir serupa dengan keputusan undian pada edisi 2016 di mana Malaysia diundi bersama pasukan Vietnam, Myanmar dan Kemboja.
Pada kejohanan yang berlangsung dua tahun lalu itu, Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas tewas di tangan Vietnam dan Myanmar yang menyaksikan skuad kendalian Ong Kim Swee ketika itu pulang dengan tangan kosong.
Justeru, kekecewaan itu pasti ingin ditebus kali ini oleh Cheng Hoe dan pemainnya untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan separuh akhir pada edisi kali ini.
Bagi edisi tahun ini, format pertandingan telah mengalami sedikit perubahan di mana pada peringkat kumpulan, setiap negara akan bermain dua perlawanan di tempat sendiri dan dua perlawanan di tempat lawan.
Ia sekaligus berbeza dengan edisi-edisi lalu di mana satu negara di dalam sesebuah kumpulan menjadi tuan rumah untuk peringkat kumpulan.
Selain itu, format tahun ini juga menyaksikan kedua-dua kumpulan mempunyai lima buah negara berbanding hanya empat pada edisi-edisi sebelum ini.
Format terbaharu ini menerima respons positif daripada semua pasukan memandangkan ia tidak memberi kelebihan buat hanya satu pasukan.
Bagi peringkat separuh akhir dan akhir pula, Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) masih mengekalkan format terdahulu di mana pasukan bertanding akan bermain di gelanggang sendiri dan lawan secara timbal balik.
Cheng Hoe ketika ditemui media selepas pengundian itu berkata, dia mahu menggunakan kejohanan tahun ini untuk menyiapkan pasukan negara untuk kejohanan yang lebih besar di masa hadapan.
Jelasnya yang baru mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Malaysia dari Nelo Vingada pada hujung tahun lalu, akan mengambil peluang ini untuk mengukur kemampuan anak buahnya.
“Sebagai ketua jurulatih yang baru sahaja memulakan tugas, saya memerlukan masa untuk membangunkan pasukan.
“Dalam masa sama, saya mahu pemain untuk bermain untuk negara, dan mendapat keyakinan dan sokongan dengan memenangi perlawanan.
“Terutama sekali apabila (kejohanan) ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu dalam kalendar bola sepak negara.
“Kami merupakan pasukan underdog dalam kumpulan A dan juga kejohanan ini. Kami akan memfokuskan terhadap setiap perlawanan satu-persatu. Dan diharap kami dapat memenangi satu atau dua perlawanan,” kata bekas jurulatih Kedah itu.
Kejohanan tahun ini akan berlangsung dari 8 November sehingga 15 Disember. Mengikut format baharu, Malaysia bakal bertandang ke Kemboja pada 8 November, sebelum menjadi tuan rumah kepada Laos pada 12 November.
Malaysia yang merupakan juara edisi 2010 kemudiannya akan bertemu Vietnam di tempat lawan pada 16 November sebelum mengakhiri peringkat kumpulan dengan melayan kunjungan Myanmar pada 24 November. – MYNEWSHUB.CC/EZ