KUALA SELANGOR – Keupayaan Kerajaan Persekutuan menyediakan banyak pembangunan untuk rakyat adalah bukti negara tidak gagal atau bankrap, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata keupayaan itu juga dikuatkan dengan laporan terkini Forum Ekonomi Dunia yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-23 negara paling kompetitif di dunia.
“Inilah istimewanya Malaysia, kalau Malaysia negara gagal ataupun bankrap seperti didakwa pembangkang, tentu sekali kita tak mungkin berupaya (sediakan pembangunan), jangan cakap nak buat hospital, jangan cakap buat klinik kesihatan, nak baik pulih padang permainan pun tidak mampu.
“Sebagai sebuah kerajaan inilah tanggungjawab kita,” katanya dalam ucapan semasa melakukan lawatan kerja ke Parlimen Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam (2) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar; calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim; calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Zahar Azlan Arifin dan calon BN bagi DUN Ijok, K. Parthiban.
Berucap di hadapan kira-kira 500 warga pendidik di sekitar Parlimen Kuala Selangor, perdana menteri berkata setiap tahun sebagai ketua kerajaan, beliau akan membentangkan kad laporan prestasi berhubung segala inisiatif dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat.
Najib berkata laporan prestasi itu adalah sebagai kayu pengukur kepada pembangunan dibawa kerajaan BN berlandaskan dasar transformasi negara yang begitu inklusif mencakupi setiap kelompok masyarakat sama ada di bandar atau desa.
Perdana menteri turut mengambil perhatian hadirin dengan berkongsi keistimewaan diperoleh rakyat apabila mendapatkan khidmat kesihatan di klinik atau hospital kerajaan apabila mereka hanya perlu membayar harga yang sangat rendah berbanding rawatan di hospital atau klinik swasta.
“Minggu lalu saya rasmi Institut Kanser Negara di Putrajaya dan ada sebuah mesin berharga RM22 juta yang hanya dua hospital di negara kita miliki model ini yang ia boleh kesan sel-sel kanser dan boleh buat radioterapi tanpa menjejaskan sel-sel sihat lain.”
Ketika ditanya berapa perlu dibayar jika guna mesin ini, pengarah hospital jawab untuk kelas ketiga hanya perlu bayar RM12, kelas kedua RM200 dan kelas pertama RM400 berbanding jika di hospital swasta pesakit perlu bayar RM40,000.
“Begitu juga dalam bidang pendidikan begitu banyak subsidi diberikan kerajaan, setiap pelajar sekolah rendah kita subsidi RM8,300 maknanya kerajaan tanggung segala yuran dan perbelanjaan termasuk gaji guru serta perbelanjaan lain. Bagi sekolah menengah kerajaan subsidi hampir RM9,000 manakala universiti pula 90 peratus yuran ditanggung kerajaan. Banyak kerajaan telah lakukan,” katanya.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata untuk terus maju ke hadapan, perlu ada keseragaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana banyak perkara akan terbantut sekiranya tiada persefahaman lebih-lebih lagi sekiranya kerajaan negeri ditadbir oleh parti lain selain BN.
Memberi contoh di Selangor, Najib berkata sehingga kini masalah yang membelenggu rakyat seperti air gagal diselesaikan berikutan kerajaan negeri ditadbir oleh pakatan pembangkang yang mempunyai ‘pemikiran lain’.
“Saya lihat masalah air di Selangor masih tidak selesai sedangkan Kerajaan Persekutuan telah belanja RM3.65 bilion untuk bina Loji Rawatan Air Langat 2, sebab apa? Sebab kerajaan negeri nak buat perkara lain, dia nak ambil alih Splash (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor) pun masih tidak selesai sehingga ada ungkapan ‘pemimpin PKR dapat undi rakyat dapat baldi’.
“Jadi ketika saya bentangkan manifesto BN untuk PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) jika BN menang semula di Selangor masalah air kita selesaikan. Ini belum lagi macam-macam cukai naik sehingga ada yang mengeluh pada saya, caj nak buat perumahan dah tambah… jadi ini akan sebabkan harga rumah jadi mahal. Sekali lagi kita lihat segala janji pembangkang dimungkiri, tidak ditunaikan,” kata Najib yang juga Pengerusi BN.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata rakyat berpeluang untuk membetulkan semula keadaan dengan berfikir semasak-masaknya pihak mana yang boleh menawarkan masa hadapan lebih baik iaitu tidak lain dan tidak bukan kerajaan BN.
Beliau turut meminta rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan terlalu banyak fitnah yang memburukkan reputasi kerajaan BN yang disebarkan oleh pembangkang dalam media sosial.
“Kalau akses internet tolong periksa (fakta) sebab kebanyakan dalam internet banyak disebarkan fitnah, ada yang sekadar beri pendapat sahaja, tidak semestinya kebenaran. Pilihan kita seperti contoh di Kuala Selangor ini adalah seperti Irmohizam, Cikgu Azahar (calon DUN Jeram) yang sudah tentu soal pendidikan akan diperjuangkan dan Parthiban yang akan terus perjuangkan Ijok.
“Saya nak beritahu juga hospital pengajar memang ada dalam rancangan kerajaan dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang dan pejabat PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) baharu juga kami akan laksanakan untuk Kuala Selangor,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Najib merayu supaya rakyat terus memberi mandat kepadanya untuk memimpin negara lima tahun lagi bagi membolehkan beliau melaksanakan lebih banyak agenda besar untuk negara yang telah berada dalam perancangan.
“Kita nak bawa negara ke arah TN50 (Transformasi Nasional 2050), kita dah jadi negara ke-23 paling kompetitif di dunia dan kita ada peluang jadi 20 negara terbaik, lebih hebat dari negara lain.
“Kita cuma nak mandat, kalau kita ada kerajaan kukuh kita akan terus melonjak ke hadapan sebagai negara yang dihormati dan disegani,” katanya. – BERNAMA