SEJAK kebelakangan ini pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin kembali mencuri perhatian ramai selepas dilihat sering berkongsi gambarnya dengan memakai hijab.
Ternyata perkongsian tersebut mendapat perhatian dalam kalangan netizen yang mana rata-rata meluahkan rasa teruja dengan penampilan terbaru isteri kepada aktor, Fattah Amin itu.
Bahkan, kebanyakan di antara mereka tidak henti-henti memuji kecantikan Fazura selain turut mendoakan aktres tersebut terus berhijab dan kekal istiqamah dengan penampilannya itu.
Selain daripada netizen, perkongsian yang dimuat naik oleh Fazura itu turut mendapat perhatian daripada Fattah sendiri yang dilihat sempat mengusik permaisuri hati dalam hidupnya itu.
“Lepas ni tak nak bagi keluarlah…,” usik Fattah.
Sehingga kini, perkongsian berkenaan dilihat telah menerima lebih daripada 200,000 tanda suka dan terus menjadi perhatian dalam kalangan netizen khususnya di Instagram. – MYNEWSHUB.CC