BIADAB… Satu video yang menunjukkan seorang pegawai imigresen bertindak kasar terhadap seorang lelaki dipercayai warga asing tular menerusi media sosial.
Dalam sebuah rakaman pendek berdurasi sembilan saat yang tersebar di laman Facebook itu, pegawai tersebut dilihat sedang melayan seorang pelanggan di sebuah kaunter di sebuah pejabat imigresen.
Secara tiba-tiba, penjawat awam itu bertindak kasar dengan menepuk dahi pelanggannya itu dipercayai menggunakan sekeping pasport yang menyebabkan warga asing itu terkejut.
Pegawai itu kemudiannya meminta lelaki warga asing itu meletakkan semula tangannya di atas meja dan mengarahkan lelaki itu untuk tidak lagi mengalihkan tangannya.
“Letak sini tangan tu. Diam, diam, diam. Biar situ!” kata pegawai tersebut.
Menurut laman Facebook Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah pejabat imigresen di Johor Bahru, Johor.
Lebih memalukan, kejadian tersebut dilakukan di hadapan ramai pelanggan lain di pejabat imigresen tersebut tanpa rasa segan-silu dari penjawat awam itu.
Layanan buruk terhadap pelanggan warga asing itu sudah pasti telah dilakukan sejak awal memandangkan ia sempat dirakam oleh individu yang turut berada di sana.
Sejurus video berkenaan tersebar, netizen di media sosial tampil menempelak tindakan tidak berintegriti penjawat awam itu dengan rata-rata dari mereka mengatakan warga asing tersebut juga mempunyai maruah.
“Sangat kurang ajar. Sesiapa pun pun tak ada hak naik tangan kepada pelanggan walaupun mereka buat salah atau tak faham arahan. Memalukan. Foreigner pun ade maruah la,” tulis Shahril Shamsuddar.
“Langsung tak ada adab. Itu manusia yang kau ketuk kepala. Jangan sebab kau ada kuasa kau boleh buat dia mcm tu. Dia juga punya rasa malu kau ketuk kepala dia depan public. Buat malu penjawat awam je,” ujar seorang pengguna Facebook menngunakan nama Jebat Bonito.
Selain itu, rata-rata netizen juga mahu pegawai imigresen tersebut diambil tindakan serius oleh pihak Kementerian Dalam Negeri kerana bertindak kasar dan gagal mengawal emosi.
“Kepada pihak berwajib tolong ambik tindakan yg sewajarnya pada staff imigresen ni. Sakit hati pulak aku tengok. Selamba je ketuk kepala orang macam tu,” kata pengguna akaun Aque Ejay.
“Ini mesti kes tak dapat bonus raya la ni sampai bertindak macam ini,” tulis seorang lagi pengguna Facebook.
Walau apa pun perkara buruk yang dilakukan oleh warga asing tersebut sebelum video itu dirakam, tiada sebarang alasan yang membolehkan lelaki yang berkhidmat dalam pentadbiran awam itu bertindak sedemikian.
Kejadian sebegini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya pegawai imigresen ini tidak terlalu beremosi melayan kerenah pelanggan.
Kami pasti tidak semua penjawat awam mempunyai sikap sebegini. Benarlah kata pepatah, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. – MYNEWSHUB.CC/EZ